Baju Kurung Moden – Bahagian 1

variasi baju kurung moden Baju Kurung adalah pakaian tradisional wanita Melayu di Malaysia. Walaupun, di dalam zaman moden yang dipenuhi dengan pelbagai fesyen dari barat dan timur, namun baju kurung tetap menjadi suatu kemestian bagi wanita melayu di Malaysia. Baju kurung apabila dikenakan dengan  aksesori seperti tudung atau selendang, kasut dan beg yang sesuai, membuatkan si wanita tampak ayu, manis, sopan dan santun seperti seorang wanita melayu tulen.

Walaupun dikenali sebagai pakaian tradisional yang di pakai oleh wanita melayu, namun pemakaiannya tidak terbatas hanya kepada perempuan melayu sahaja. Bangsa lain di Malaysia seperti bangsa Cina, India dan lain-lain juga kelihatan cantik memakai baju kurung.

Baju kurung tidak terhad hanya di pakai majlis-majlis kenduri dan keramaian seperti majlis perkahwinan dan pertunangan, tetapi juga di pakai setiap hari di pejabat, sekolah, institusi tinggi. Malah boleh dikatakan baju kurung boleh dipakai bila-bila sahaja tidak kira majlis formal, semi-formal atau untuk majlis santai.

Selain daripada nampak ayu dan sopan berbaju kurung, baju kurung menjadi pilihan wanita di Malaysia kerana pemakaiannya yang selesa. Dengan cuaca iklim khatulistiwa yang panas dan lembap, baju kurung yang secara asasnya tidak ketat adalah sangat selesa dipakai.

Malah untuk wanita yang mempunyai tubuh yang berisi masih mampu kelihatan cantik dan elegan berbaju kurung. Baju kurung sangat sesuai untuk wanita yang beragama Islam. Ini adalah kerana secara asasnya baju kurung menutup seluruh tubuh wanita (kecuali muka dan tangan), potongan yang sederhana, memenuhi syarat-syarat bagi menutup aurat dan tidak menampakkan bentuk tubuh badan.

Pada masa ini, baju kurung telah mengalami pelbagai perubahan dan boleh ditemui dalam pelbagai bentuk. Hal ini selari dengan perkembangan fesyen semasa dan juga pemakaian baju kurung yang biasa dipakai oleh negeri-negeri di dalam Malaysia. Antara variasi baju kurung adalah baju kurung pesak gantung, baju kurung riau pahang, baju kurung kedah, baju kurung moden (mini kurung) dan lain-lain lagi. Walaupun telah banyak evolusi yang berlaku di dalam fesyen baju kurung, gaya yang ditampilkan secara dasarnya adalah sama.

[Artikel seterusnya akan membincangkan baju kurung moden, dan juga cara jahit baju kurung, tempahan baju kurung ]

There are no comments yet. Be the first and leave a response!

Leave a Reply


Wanting to leave an <em>phasis on your comment?

Trackback URL http://jahitbajukurung.com/baju-kurung-moden-bahagian/trackback